Sunday 22 April 2012

.::. Tertutup Itu Indah tapi... .::.

بِسْــــــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم




"Lebih tertutup, lebih indah."
Saya setuju ayat ini untuk penutupan aurat.
Tetapi hendak membesar-besarkan ayat ini terhadap purdah, cadar, atau apa sahaja yang kita panggil kain penutup wajah wanita itu, saya rasa tidak sesuai.

Sekarang, saya sampai nampak apabila majlis perkahwinan pun, orang puja wanita berpurdah sebagai terbaik kerana menutup wajahnya, kononnya menjaga keindahannya dari dipandang ramai orang. Itu belum ditambah lagi dengan 1001 jenis ayat yang mengangkat-angkat perkara ini.

Pertamanya, jika diberikan kepada saya, saya melihat purdah tidak lebih dari satu pakaian. Ini masalah khilafiah. Jadi, saya memilih pendapat bahawa ianya adalah pakaian, dan bukan dari sunnah di dalam Islam. Kerana jelas, ada hadith-hadith yang menunjukkan betapa wanita di zaman kehidupan Rasulullah SAW juga tidak berpurdah.

Keduanya, bila ianya masalah khilafiah, tidak perlulah terlalu mengangkatkan salah satu daripada pilihan yang ada. Tidak perlu ayat-ayat seperti: "Berpurdah lebih baik", "Berpurdah lebih mulia, kerana mujahadanya lebih tinggi" dan sebagainya. Tidak perlu. Kerana asasnya, aurat wanita adalah seluruh tubuhnya, kecuali muka dan telapak tangan. 

Dan tidak perlu pula orang yang tidak favour kepada purdah, untuk merendah-rendahkan pemakainya, sebagaimana pemakai purdah tidak boleh merendah-rendahkan mereka yang tidak memakainya. Walau dengan cara memulia-muliakan diri mereka(atau purdah yang mereka pakai).

Sedikit pendapat berkenaan berpurdah semasa majlis perkahwinan,
saya kira majlis perkahwinan ini adalah untuk isytiharkan fulanah binti fulan adalah isteri fulan bin fulan. Jadi, bagaimanakah orang ingin tahu siapakah fulanah binti fulan itu, jika wajahnya tertutup begitu?

Kita buat majlis perkahwinan, asasnya bukan untuk menunjuk-nunjuk keindahan isteri kita. Kita hendak perkenalkan siapa isteri kita. Kita hendak cakap pada masyarakat, bahawa kita dan si fulanah, sudah berkahwin. Agar tidak timbul fitnah saat kita keluar dengannya. Jadi, mengapa tutup wajahnya hingga orang sendiri tidak tahu siapakah isteri kita?

Itu sekadar pendapat saya. Boleh sahaja ditolak. Sebab pendapat berkenaan purdah semasa majlis perkahwinan itu datang dari pertimbangan akal saya sahaja.

Tetapi serius, saya merasakan kita tidak perlu memuja-muja purdah hingga seakan-akan ia adalah satu perkara qat'ie di dalam Islam. Sehingga seakan-akan tidak memakai purdah, menjadi 'satu kekurangan'. Perkara ini(memuja-muja, meninggi-ninggi) akan memberikan kesan yang tidak baik buat pemakai purdah, dan yang tidak memakai purdah.

---------------------------------
Bersederhana.
Itu adalah sebaik-baik perkara. (Oleh: Hilal Asyraf 
http://www.facebook.com/profile.php?id=1395571657)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Multi-Colored Light Pointer