Showing posts with label Niqabis. Show all posts
Showing posts with label Niqabis. Show all posts

Sunday, 22 April 2012

.::. Pendapat Keluarga Lebih Utama .::.

بِسْــــــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


   Perasaan rindu pada keluarga sentiasa terbit di hati setiap manusia yang sedang bermujahadah di negara orang . Tapi sesetengah daripada mereka cuba sedaya upaya ketepikan perasaan tu kerana ALLAH . Memang tak mudah untuk kita berjuang , tapi kemanisan iman dan perjuangan itu yang memberi semangat dan kekuatan untuk terus berjuang walaupun terasa keseorangan di tempat orang . Persoalan berpurdah bermain-main difikiran pada sahabat ana. Moga Allah permudahkan ...

 Sama-sama kita banyak berdo'a pada Allah subhanahu wataala supaya segala kekeliruan itu dapat dileraikan, dan apa yang benar dan apa yang terbaik terus berkekalan, insha Allah. 


“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.

Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.
Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

[At-Talaq : 2&3]

   Bila pikir balik , "kenapa aku pakai purdah? Kalau betul pun kerana ALLAH , aku hanya dapat pahala sunat tu sedangkan perasaan ibu bapa lebih utama .Tak guna juga tanpa keredhaan mereka..."


   Nasihat kepada mereka yang ada keinginan kuat untuk memakai purdah , tapi dihalang oleh keluarga . Bagi saya lebihkanlah yang lebih utama . Lebihkanlah pendapat kedua ibu bapa anda kerana keredhaan ALLAH di bawah keredhaan ibu bapa dan wajib mengikut kata-kata mereka , sedangkan purdah tu hanyalah sunat . Pikirkanlah mana yang lebih utama .


   Mungkin mereka ada sebab tersendiri . Tak semua keluarga boleh terima . Tak semua ibu boleh terima . Takkan ibu nak berjalan di luar bersama anaknya yang memakai purdah . Apa kata orang lain . Mungkin ibu tu boleh terima . Tapi sebagai seorang anak , lebih baik menjaga perasaan dan hati ibu tu sendiri . 


   Bila dah kahwin barulah boleh pakai purdah , malah boleh istiqomah dengan pemakaian purdah anda . Tapi itupun kalau suami benarkan . Doa lah supaya anda dapat suami yang soleh . =)

.::. BERNIQAB ATAU TIDAK BERNIQAB .:

بِسْــــــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم






Mana Lebih Utama, Berniqab atau Tidak?

            Memakai niqab atau purdah adalah suatu pakaian  yang baik. Ianya istimewa.
Tidak memakai niqab atau purdah juga suatu pakaian yang baik. Ia juga istimewa.
Selagi kedua-duanya menutup  aurat  dan dipakai dengan rasa taqwa,  pilihan untuk memakai atau tidak memakainya adalah suatu pilihan yang baik. Kedua-dua pilihan ini patut dimuliakan sebagai muslimah.
            Mana yang patut dipilih? Pakai niqab atau tidak?
            Jawapan bagi soalan ini bergantung kepada cabaran fitnah individu, tuntutan budaya, tempat, tuntutan hidup, tuntutan zaman, kemajuan segala bidang kehidupan, tingkat pendidikan wanita yang tinggi dan  merata pada hampir semua wanita, perubahan umum dari diam kepada bergerak, dari duduk rumah kepada berkerja dalam pelbagai bidang, maka hukum boleh berubah sesuai dengan perubahan penyebabnya.
Kadang-kadang memakai niqab menjadi lebih utama dipilih, Kadang-kadang tidak memakai niqab pula menjadi lebih utama dipilih.
Niqab menjadi utama dipilih oleh wanita cantik yang dekat dengan suasana fitnah, niqab itu tidak menyulitkannya dan tidak mengundang cacian serta perlekehan orang terhadapnya. (Khususnya dalam sebuah masyarakat yang memang membudayakan niqab). Tidak berniqab pula menjadi utama dipilih oleh wanita yang menekuni fiqh dakwah pada zaman ini.
Siapa yang berani mendabik dada bahawa dia adalah lebih baik daripada orang lain? Sedangkan kedua-dua pilihan ini mempunyai hujah dan fiqh  keutamannya yang tersendiri.  Sama-samalah menghormati sebuah pilihan. Kedua-duanya istimewa dan patut dimuliakan. Orang yang lebih bertaqwa itu pastinya lebih baik di sisi Allah SWT.

Antara 3 Kelompok

            Dr. Amru Abdul Karim Sa’dawi di dalam bukunya  berjudul Wanita Dalam Fiqih Al-Qaradhawi menulis, ada 3 kelompok besar yang berbicara tentang pakaian wanita iaitu:
1.       Kelompok yang inginkan kebebasan mutlak bagi wanita dalam berpakaian.
2.      Kelompok yang inginkan penutupan mutlak bagi wanita dalam berpakaian termasuk menutup muka dan tapak tangan.
3.      Kelompok pertengahan yang menganggap Islam tidak mewajibkan model pakaian tertentu  atau warna tertentu bagi pakaian wanita.  Adapun model dan warna pakaian serta baju luar yang ada di sejumlah negara merupakan tradisi (adat) yang berlaku di sesuatu negara dan ini tentu berbeza dengan tradisi yang berlaku di negara lain. Apapun, Islam menetapkan sejumlah batasan dan sifat tertentu pada pakaian wanita Muslimah yang mesti dikenakan ketika  keluar rumah. (Mustafa At-Thahan, hal.167).
Bolehnya Menampakkan Wajah

            Boleh atau tidak boleh  menampakkan wajah adalah soal khilaf. Apabila dinamakan khilaf, kedua-dua kelompok mempunyai hujah tersendiri yang wajar dihormati. Bagi meringkaskan perbincangan agar tidak memberatkan pembaca, berikut dinyatakan hujah kelompok yang membolehkan menampakkan wajah yang menjadi pilihan penulis. Pembaca berhak mempunyai pilihan yang berbeza daripada penulis selagi mana pilihan itu berdasarkan hujah.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya ingin jelaskan sebuah hakikat yang pada dasarnya sudah jelas, sebuah hakikat yang telah dikenal di kalangan ilmuan, iaitu perkataan tidak wajibnya penutup muka dan dibolehkannya membuka wajah dan kedua tapak tangan dari anggota wanita di hadapan lelaki. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh sejak zaman sahabat.”
Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil syariat dan riwayat dari para sahabat(atsar), dan bersandarkan kepada pandangan dan perbandingan akal sihat serta diperkuat pula oleh kenyataan yang berlaku  pada zaman keemasan umat ini.
Terlalu banyak hujah yang dikemukakan oleh Al-Qaradhawi berkaitan hal ini. Antaranya ialah:

Dalil  1
           
Tafsiran majoriti para sahabat terhadap surah an-Nur ayat 31,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.”
Mereka mengecualikan muka dan tapak tangan. Antara mereka yang berpandangan demikan ialah Anas bin Malik, Ibnu Abbas, Aisyah, Said bin Jubair, Atha’,  Qatadah, Musawwir bin Makhramah, Ibnu Juraij dan lain-lain. Imam At-Tabari, Ar-Razi, Baidhawi dan lain-lain menyokong pendapat Ibnu Abbas dan lain-lain.


Dalil 2

Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.ha. bahawa Asma’ binti Abu Bakr pernah mendatangi rumah Nabi SAW (baginda merupakan adik ipar Asma’) dengan mengenakan pakaian tipis yang menampakkan tubuhnya. Lalu Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita yang telah haid tidak dibolehkan menampakkan bahagian daripada (tubuh)nya kecuali ini dan ini.” Baginda SAW memberikan isyarat kepada wajah dan kedua telapak tangan. Hadis di atas banyak dikuatkan oleh pelbagai hadis sahih lainnya.
Al-Bani  menilai hadis  ini hasan dalam kitabnya, Hijab al-Mar’ah al-Muslimah, meskipun statusnya mursal dan perawinya dhaif. Ini kerana ada hadis penguat (hadis syahid) dari riwayat Asma’ binti Umais. Riwayat penguat lain ialah realiti yang berlaku pada zaman Nabi dan sahabat, ramai wanita tidak berniqab.

Dalil 3

Pada waktu-waktu tertentu (bukan semua waktu), mengenakan penutup wajah dipandang aneh dan menimbulkan tanda tanya.  Imam Abu Dawud meriwayatkan dari Qais  bin Syimas r.a. berkata, “Seorang wanita (yang dikenal sebagai Ummu Khalad) datang menemui Rasulullah. Dia datang dengan wajah tertutup. Dia bertanya perihal anaknya yang terbunuh. Beberapa orang sahabat berkata kepadanya,
“Saudari datang untuk bertanya dengan wajah tertutup?”
Ummu Khalad berkata,
“Walau anak saya terbunuh, tapi tidak dengan rasa malu saya.”
Jika memang penutup muka pada zaman itu sudah mentradisi lalu apa alasan perawi berkata sesuatu yang menunjukkan mereka hairan dengan penampilan Ummu Khalad. Jawapan Ummu Khalad menunjukkan alasannya menutup wajah adalah kerana rasa malu bukan kerana perintah Allah dan Rasul.
Kalau memang penutup  wajah wajib secara  syariat, tentu  dia tak akan menjawab demikian dan sahabat tidak bertanya demikian, seakan bertanya,
“Kenapa kamu solat?”

Dalil 4

Al-Baihaqi meriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Aisyah, Rasulullah melarang wanita dalam ihram mengenakan penutup wajah. (HR Bukhari).
Jika wajah dan tapak tangan memang aurat, kenapa Rasulullah melarang menutupnya? Padahal, apa-apa yang dilarang ketika ihram seperti menggunakan pakaian berjahit,berburu dan memakai wangian pada asalnya boleh. Bagaimana boleh dikatakan yang wajib ketika ihram (membuka wajah), pada asalnya adalah haram pula? 
Ulama sepakat bolehnya wanita membuka wajah ketika solat dan haji. Apakah mungkin syariat membenarkan terbukanya aurat ketika haji dan solat?

Dalil 5

            Perintah kepada lelaki menundukkan pandangan dalam Surah an-Nur, ayat 30 dan dalam banyak hadis. Jika semua wanita menutup wajah, apa maknanya  perintah ini?

Dalil 6

            Perintah Allah dalam surah An-Nur, ayat 31, “Dan hendaklah mereka menutupkan kain ke dadanya,” tentang menutup dada, bukan menutup wajah. Jika menutup wajah itu wajib,tentu Al-Quran mengatakannya dengan jelas sejelas ayat perintah menutup dada ini.

Dalil 7

            Dalam Surah al-Ahzab, ayat 52, “meskipun kecantikannya menarik hatimu…”. Bagaimana mengetahui kecantikan  seorang wanita jika wajahnya wajib ditutup?

Dalil 8

Satu kenyataan yang turut diakui oleh golongan yang mewajibkan  niqab ialah wanita pada zaman awal Islam tidak seluruhnya menutup  wajah, melainkan hanya beberapa orang sahaja dan pada  waktu-waktu tertentu sahaja.

Apabila Lelaki Memandang Dengan Syahwat

As-Shawi berkata, “Apakah wajib bagi wanita, pada saat lelaki memandangnya  dengan syahwat untuk menutup wajah dan tapak tangannya?”
Ibnu Marzuq berkata. “Tidak wajib baginya.”
Perintah menundukkan pandangan ditujukan kepada lelaki tersebut. Pendapat ini dikutip oleh Mawwaq dari Qadhi Iyadh. Marzuq membezakan antara wanita cantik atau tidak.
Namun, kecantikan seorang wanita adalah suatu yang relatif. Si A mungkin memandangnya cantik tapi si B mungkin memandangnya tidaklah cantik sangat. Lagipun,bagaimana seseorang wanita itu tahu seorang lelaki itu sedang memandangnya dengan nafsu?
 Terdapat hadis tentang Rasulullah memalingkan wajah Fadhl bin Abbas daripada memandang seorang wanita dari Khats’am yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa wanita itu memang cantik. IbnuHazm berkata, “Jika wajah (cantik) itu aurat, tentu Rasulullah memerintahkan wanita itu menutupnya.”
            Bolehnya wanita menampakkan wajah tidak bermakna bolehnya lelaki melihatnya. Sebahagian ulama melarang lelaki melihat wanita kecuali pandangan pertama yang tidak disengaja.
Sebahagian ulama yang lain pula mengharuskan memandang wajah wanita dengan syarat  tanpa hasrat seksual. Jika timbul syahwat dengan memandang wajah wanita ketika itu haram hukumnya memandang wajahnya. Dr.Yusuf Al-Qaradhawi memilih pendapat ini dalam bukunya An-Niqab Lil Mar’ah.

Membuka Wajah Suatu Keperluan dalam Komunikasi Berkesan

            Wanita dan lelaki harus berkomunikasi  dalam muamalat atau urusan-urusan hidup seperti berjual beli, kesaksian, wakil-mewakilkan dan sebagainya.
            Ulama fikih sependapat wanita hendaklah membuka wajah ketika memberi keterangan di hadapan hakim, sehingga hakim,saksi dan lawan bicara mampu mengenalnya dan anak siapakah dia.

Fiqh Dakwah: Menjaga Dakwah Lebih Utama

            Di antara kaedah yang disepakati dan tidak diperdebatkan ialah fatwa boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat, kebiasaan dan keadaan.
            Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya berkeyakinan, zaman kita sekarang telah memberi wanita banyak peluang dan kesempatan yang mengharuskan kita untuk menyusun kembali pemikiran-pemikiran kita  yang memudahkan  wanita untuk  membentuk keperibadiannya.”
            “Di dalam kitab Al-Ijtihad fi Asy-Syariah al-Islamiyyah, saya  menyebutkan, saya menganjurkan wanita yang bergerak dalam bidang dakwah hendaklah tidak mengenakan penutup wajah. Alasannya agar tidak menjadi penghalang komunikasi antara dirinya sebagai da’i dan masyarakat sebagai objek dakwah. Menjaga kemaslahatan dakwah lebih penting dari apa-apa yang dia berjaga-jaga kerananya.”

Jangan Bergaduh Soal Niqab

            Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan, “Tidak dibenarkan bagi saudari-saudari yang menutup wajahnya dan menyeru kepada menutup wajah, menyerang wanita muslimah yang berpegang, beramal dan berdakwah dengan pendapat majoriti ulama yang mewajibkan jilbab tanpa penutup wajah.”
            “Seharusnya serangan mereka diarahkan kepada kaum liberalis yang  mengarahkan kaum wanita muslimah berpakaian terbuka ala Barat. Para muslimah itu sendiri telah bersusah payah mempertahankan jilbabnya di lingkungan kerjanya, kampungnya dan rumahnya.”

Pada Kesulitan Ada Kemudahan

            Mewajibkan wanita berniqab pada zaman ini melahirkan banyak kesulitan. Allah memberi keringanan dalam setiap kesulitan. Allah SWT berfirman,”Dia tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.” (Al-Haj: 78).
            Rasulullah bersabda, “Saya diutus dengan kelapangan dan toleransi beragama.” Hingga ulama kita memberi kaedah, kesulitan mendatangkan kemudahan.
            Rasulullah memerintahkan kita mempermudah urusan bukan menyulitkan, memberi berita gembira bukan menakutkan.
Yang berniqab teruskan berniqab. Yang tidak berniqab, jangan rasa berdosa kerana tidak berniqab. Masing-masing ada peranan. Masing-masing mengikut contoh para sahabiah. Masing-masing mengikut sunnah secara manhajnya, dan menutup aurat. Apa yang penting, kedua-duanya saling menghormati, memahami, saling membela, tidak menghukum, tidak saling merendahkan kerana merasa diri lebih baik, tidak berpecah belah dan saling bersatu. Utamakan akhlak, baik sangka dan lapang dada dalam berbincang dan melontarkan pandangan agar keindahan akhlak Islam tersebar mewangi ke segenap alam.

(Oleh :Fatimah Syarha http://sebarkanbahagia.blogspot.com/)

.::. Tertutup Itu Indah tapi... .::.

بِسْــــــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


‎

"Lebih tertutup, lebih indah."
Saya setuju ayat ini untuk penutupan aurat.
Tetapi hendak membesar-besarkan ayat ini terhadap purdah, cadar, atau apa sahaja yang kita panggil kain penutup wajah wanita itu, saya rasa tidak sesuai.

Sekarang, saya sampai nampak apabila majlis perkahwinan pun, orang puja wanita berpurdah sebagai terbaik kerana menutup wajahnya, kononnya menjaga keindahannya dari dipandang ramai orang. Itu belum ditambah lagi dengan 1001 jenis ayat yang mengangkat-angkat perkara ini.

Pertamanya, jika diberikan kepada saya, saya melihat purdah tidak lebih dari satu pakaian. Ini masalah khilafiah. Jadi, saya memilih pendapat bahawa ianya adalah pakaian, dan bukan dari sunnah di dalam Islam. Kerana jelas, ada hadith-hadith yang menunjukkan betapa wanita di zaman kehidupan Rasulullah SAW juga tidak berpurdah.

Keduanya, bila ianya masalah khilafiah, tidak perlulah terlalu mengangkatkan salah satu daripada pilihan yang ada. Tidak perlu ayat-ayat seperti: "Berpurdah lebih baik", "Berpurdah lebih mulia, kerana mujahadanya lebih tinggi" dan sebagainya. Tidak perlu. Kerana asasnya, aurat wanita adalah seluruh tubuhnya, kecuali muka dan telapak tangan. 

Dan tidak perlu pula orang yang tidak favour kepada purdah, untuk merendah-rendahkan pemakainya, sebagaimana pemakai purdah tidak boleh merendah-rendahkan mereka yang tidak memakainya. Walau dengan cara memulia-muliakan diri mereka(atau purdah yang mereka pakai).

Sedikit pendapat berkenaan berpurdah semasa majlis perkahwinan,
saya kira majlis perkahwinan ini adalah untuk isytiharkan fulanah binti fulan adalah isteri fulan bin fulan. Jadi, bagaimanakah orang ingin tahu siapakah fulanah binti fulan itu, jika wajahnya tertutup begitu?

Kita buat majlis perkahwinan, asasnya bukan untuk menunjuk-nunjuk keindahan isteri kita. Kita hendak perkenalkan siapa isteri kita. Kita hendak cakap pada masyarakat, bahawa kita dan si fulanah, sudah berkahwin. Agar tidak timbul fitnah saat kita keluar dengannya. Jadi, mengapa tutup wajahnya hingga orang sendiri tidak tahu siapakah isteri kita?

Itu sekadar pendapat saya. Boleh sahaja ditolak. Sebab pendapat berkenaan purdah semasa majlis perkahwinan itu datang dari pertimbangan akal saya sahaja.

Tetapi serius, saya merasakan kita tidak perlu memuja-muja purdah hingga seakan-akan ia adalah satu perkara qat'ie di dalam Islam. Sehingga seakan-akan tidak memakai purdah, menjadi 'satu kekurangan'. Perkara ini(memuja-muja, meninggi-ninggi) akan memberikan kesan yang tidak baik buat pemakai purdah, dan yang tidak memakai purdah.

---------------------------------
Bersederhana.
Itu adalah sebaik-baik perkara. (Oleh: Hilal Asyraf 
http://www.facebook.com/profile.php?id=1395571657)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Multi-Colored Light Pointer